Wednesday, December 22, 2010

Eco Park, Botanical Garden, Ipoh



Jalan-jalan melihat alam bersama adik-adik. Tidakku sangka rupanya ada sebuah taman yang mempunyai kolam yang cantik berhampiran rumah, lebih kurang 6km dari Taman Rapat Setia Baru. Kami tidak pernah sampai situ. Direction jalan, adik yang beritahu mengikut pengalaman kawannya.



Subhanallah, Masyaallah. Menarik dan cantik. Selesa untuk bersama keluarga dan kawan-kawan. Juga terdapat playground untuk kanak-kanak. Boleh berjogging dan sambil-sambil memberi makan ikan. Taman tersebut di buka dari jam 7 pagi hingga 7 petang.



Tujuan utama kami ke sana adalah untuk menghabiskan satu balang kuih raya (popia goreng) tempoh hari yang telah masuk angin. Rasa membazir untuk buang begitu sahaja. Maka timbul idea yang baik, bagi ikan makan. Berebut-rebut ikan tersebut. Besar-besar pula.

Jemput ke sana kawan-kawan!

Tuesday, November 23, 2010

Setahun telah berlalu

Alhamdulillah, saya sihat. Syukur tidak terhingga kepada Pencipta alam dan sekaliannya. 17 November 2010 genap setahun mengikut tahun masihi saya dibedah akibat scoliosis.

Rasa sakit dibedah juga sudah lupa. Cuma sakit sebelum dibedah masih sama dan mungkin bertambah dari sebelumnya. Biasalah, sesuatu bendasing yang dimasukkan ke dalam tubuh akan berlainan rasanya daripada sebelum dimasukkan. Hatta doktor sendiri yang melakukan pembedahan dan jahitan luka pembedahan terhadap pesakit juga tidak tahu bagaimana rasa sakitnya dibedah. Belum cuba sendiri belum tahu kan...

Kini, saya semakin cepat lenguh pinggang berbanding sebelum. Pemanduan 3-4 jam dari Pahang ke Perak sempena Aidil adha dan dicampur pula 2 jam menunggu sahabat di r n r Sungai Buloh tempoh hari saya sudah sangat kepenatan. Selalunya kepenatan perjalanan seperti ini sehari dua baru pulih sekiranya rehat dengan cukup. Namun segala keceriaan mesti sentiasa selalu seperti sediakala :p.

Tetapi saya yang pilih jalan ini. Saya kena tanggung risikonya. Kemasukan implan ini adalah untuk membendung daripada tulang saya semakin membengkok dan memberi kesan pada hari tua. Walaupun saya malu dengan kecacatan ini, saya kena redha. Terima kasih Ya Allah atas pemilihan ini kepada saya. Moga saya tabah.

Al Baqarah : 286
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir".

* Kepada sahabat-sahabat yang masih dalam dilema untuk menjalani pembedahan seperti saya, sila buat pilihan yang terbaik dan saya mengesyorkan lakukan segera sebelum hari tua kerana kesannya berbaloi-baloi :). Lagi muda, lagi baik kerana tempoh sembuhnya cepat.

Thursday, November 4, 2010

Rindu

Alhamdulillah, fasa pengajaran bagi pelajar semester ini telah berakhir. Moga ada rezeki lagi di masa hadapan. Kini berhadapan dengan pengajaran bagi orang-orang hebat pula. Lain pula karenah pertanyaan. Mock teaching. Moga saya berjaya dan sekiranya tidak perlu positif dengan rezeki yang dikurniakan.

Lama sangat tidak menjengah ke sini. Walau bagaimanapun, terima kasih kepada sahabat yang saya tidak kenali yang menghantar emel melalui yahoogroup berkenaan kematian seorang sahabat malam tadi. Rakan perjuangan yang pergi akibat kemalangan bas ekspres Tranasional dari Batu Pahat ke Pekan. Saya juga tidak mengenalinya. Tetapi sangat terkesan dengan pemergiannya(1985-2010) dan latar hidupnya begitu baik. Umurnya sebaya dengan saya. Namun perwatakan dan amalannya jauh lebih baik dari saya. Saya tersentak. Sekiranya saya dijemput kala ini, adakah saya bersedia?

Ya Allah, aku makin jauh dengan MU. Moga kau terima taubatku ini. Aku perlu kuatkan iman untuk mengharungi hidup yang penuh cabaran ini.

Serungkai nasihat Al-Fadhil Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man yang dipetik dari abangmodul.blospot.com :

"Mati itu tidak syarat sakit, tidak syarat sihat, tidak syarat muda, tidak syarat tua. Syaratnya AJAL..."

"Rezeki sudah menjadi jaminan kepada hambaNYA, tetapi risaukanlah kelalaian terhadap kewajipan kita kepadaNYA"

Aku rinduMu Ya ALLAH...




Monday, September 20, 2010

Igauan

Tidur lena selama 2 minggu lebih ini akan terganggu semula apabila bermulanya kelas. Perlu ulangkaji dan persediaan pengajaran. Tidur malam termimpi-mimpi tajuk yang perlu dihadamkan sebaik mungkin. Maklumlah tujuh tahun dahulu saya belajar subjek yang diajar ini, kini perlu mengajar pula. Agaknya begini tekanan bagi orang yang baru mula bertatih dalam dunia akademik. Tidak sabar untuk menunggu sehingga pertengahan Oktober ini. Menunggu silibus yang terakhir dihabiskan...

Monday, September 13, 2010

Taballahu minna waminkum

Salam Eidul Fitri, taballahu minna waminkum. 1 Syawal 1431,10 September 2010.

Jubair bin Nufair berkata: Apabila para sahabat Nabi SAW bertemu sesama mereka pada hari raya, mereka saling mengucapkan "Moga-moga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian semua".

Moga kalian ampunkan segala salah dan silap saya sepanjang kita bersama mengharungi dunia fana ini.

Aduyai...

Kurang sapaan. Saya suka cara yang lama. Lain orang, lain caranya. Tapi masing-masing kedua-duanya adalah 'gila'. Mungkin ini fitrahnya kejadian alam. Moga orang itu kuat menghadapinya...haha...

Tuesday, August 31, 2010

Sebulat hati...

31082010~21Ramadhan1431H Selasa

Ya Allah, sesungguhnya aku meminta pilihan yang tepat kepada-Mu dengan ilmu-Mu dan aku memohon kekuatan kepada-Mu (untuk mengatasi persoalanku) dengan ke-Mahakuasaan-Mu. Aku mohon kepada-Mu sesuatu dari anugerah-Mu yang Mahaagung, sungguh Engkau Mahakuasa sedang aku tidak kuasa, Engkau Maha Mengetahui sedang aku tidak mengetahui dan Engkaulah yang Maha Mengetahui yang ghaib. Ya Allah, apabila Engkau mengetahui bahwa urusan ini (orang yang mempunyai hajat hendaknya menyebut persoalannya) lebih baik dalam agamaku, penghidupanku, dan akibatnya terhadap diriku (atau Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘..di dunia atau akhirat) takdirkan (tetapkan)lah untukku, mudahkanlah jalannya, kemudian berilah berkah atasnya. Akan tetapi, apabila Engkau mengetahui bahwa persoalan ini membawa keburukan bagiku dalam agamaku, penghidupanku, dan akibatnya kepada diriku (atau Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘...di dunia atau akhirat’) maka singkirkanlah persoalan tersebut, dan jauhkanlah aku darinya, dan takdirkan (tetapkan)lah kebaikan untukku di mana saja kebaikan itu berada, kemudian berikanlah keridhaan-Mu kepadaku.’”

"Cinta itu indah, kerana ia bekerja dalam ruang kehidupan yang luas, dan inti pekerjaannya adalah memberi. Memberi apa saja yang diperlukan oleh orang-orang yang kita cintai untuk tumbuh menjadi lebih baik dan berbahagia kerananya" (http://www.haryobayu.web.id)



Tuesday, August 17, 2010

Takut

Perasaan ini datang lagi. Dua tahun lepas juga pernah melalui seperti ini. Takut, gementar dan agak tertekan juga. Kini perlu lalui semula. Percaturan baru. Tercari-cari juga panduan dan pendapat orang. Lain orang, lain cara menempuhnya. Ada yang mudah, mungkin ada yang susah. Bagiku, susah untuk menghadapinya walaupun pernah mempunyai sedikit pengalaman.

Ya Allah mudahkan aku dalam urusan ini. Aku insan dhoif dan naif. Mohon petunjukMU. Berharap Ramadhan kali ini memberi penuh pengertian.

Thursday, August 12, 2010

Datang Lagi

Ramadhan datang lagi. Sudah hari ketiga hari ini. Alhamdulillah selamat menunaikan ibadah puasa selama 3 hari pada 1431H. Namun ibadah sunat lain masih cuba ditingkatkan. Masih sangat sedikit jika hendak dibandingkan dengan nikmat yang diberiNYA.

Ramadhan kali ini, payah betul untuk atasi rasa malas dalam diri bagi rajin berbuat demikian. Semuanya disebabkan hawa nafsu yang selalu dimanjakan dalam diri ini dan pasti sudah berkarat dan sebati. Daripada 365 hari hanya direhatkan dari gangguan syaitan selama 30 hari. Selebihnya gabungan dua. Maka 30 hari tersebut sukar untuk rajin kerana sudah lali dengan memenuhi kehendak nafsu. Ya Allah aku perlu kuat melawan semua ini. Takut jika ini Ramadhan yang terakhir dan aku tidak bersungguh pula dalam mencari redhaMU.

Ya Allah tolonglah hambamu ini...Mohon doa sahabat jua...

Tuesday, August 10, 2010

Ke 38





Alhamdulillah, majlis penghargaan para pelajar kali ke 38 bagi Pusat Ilmu Perbukitan Bangi selamat dilangsungkan 4 hari berturut-turut sebelum kedatangan Ramadhan 1431H. Jutaan tahniah kepada semua yang terlibat. Satu kepuasan juga kepada diri ini. Dapat naik pentas, berjumpa para guru dan juga sahabat seperjuangan. Gembira dapat bersua muka.

Terima kasih tidak terhingga kepada ayahanda dan bonda yang banyak bersusah payah demi anakanda ini. Moga kejayaan ini juga merupakan hadiah yang tidak dilupakan sempena ulangtahun ke 60 bagi ayahanda yang bertarikh pada 9 Ogos. Ya Allah mudahkan perjalanan kehidupan kedua ayahanda dan bondaku seperti mana mereka memudahkan kehidupanku ini.

Moga dengan adanya majlis seperti ini mungkin akan menjadi salah satu inspirasi untuk melanjutkan lagi pengajian. Teringat kata-kata seorang sahabat, 'Semoga selepas ini rasa gian untuk majlis seterusnya...'. Hmm...sukarnya untuk meneruskan lagi, rasa tidak mampu dengan kemampuan yang ada. Dan harapnya rasa gian itu tidak hilang dan terus mekar di hati.

Kenangan kali ke 35 ~ 12 Ogos 2007, Sabtu dan kali ke 38 ~ 8 Ogos 2010, Ahad...seterusnya?? Moga diizinkan Allah hendaknya.

Friday, August 6, 2010

Kenangan

Jumaat tiba. Pemanduan ke Bangi bermula jam 1 petang. Alhamdulillah selamat sampai sekitar 3.45 petang. Urusan untuk tamat pengajian diselesaikan dahulu. Kemudian lantas ke fakulti tempat belajar bertemu sahabat seperjuangan.

Rindu terubat. Sayu mengenangkan selepas ini masing-masing dengan perjalanan hidup sendiri. Ada yang akan pulang ke tanah air, ada yang meneruskan semula tugas kerja, menyambung pengajian dan tidak kurang juga mendirikan rumah tangga. Fakulti akan sunyi dengan gelagat orang lama. Mula episod dengan orang baru pula.

Pusat Ilmu di perbukitan Bangi akan sentiasa tersemat di hati. Susah senang semuanya menjadi pengalaman dalam mengajar erti hidup. Ya Allah mohon hubungan kami ini tidak terhenti di sini.

Saturday, July 31, 2010

Kembali Lagi

Hari yang ditunggu datang jua. Jumaat. Masa untuk datang ke Bangi. Istilah balik ke Bangi kini sudah bertukar kepada datang. Perlu menerima hakikat perlahan-lahan.

Berkongsi kereta bersama rakan setugas yang juga rakan belajar ketika dahulu. Masing-masing dengan tujuan yang sama, menguruskan hal-hal berkaitan hari penghargaan pada minggu hadapan. Hari penghargaan setelah berhempas pulas belajar. Walaupun 3 semester tempohnya, tapi bebannya Allah sahaja yang tahu.

Tahniah kepada yang berkenaan. Teruskan usaha meneroka ilmu Allah sehingga akhir hayat dalam mencari erti kehambaan.

Saturday, July 24, 2010

Belum cuba belum tahu...

Semakin hari cuba untuk membiasakan diri. Mula-mula sangat berdebar untuk berhadapan dengan pelajar. Maklumlah langsung tiada pengalaman mengajar. Kini masuk sudah minggu ke empat. Alhamdulillah sudah boleh mengadaptasi dengan persekitaran.

Suasana rakan sekerja dikategorikan baik. Masing-masing peduli akan hal rakan baru. Rasa dihargai dan tiada jurang walaupun mereka itu senior dan berpangkat. Sangat berlainan di tempat kerja saya dahulu, mungkin masing-masing berjawatan dan ada juga yang bermuka-muka. Walaupun baik, keadaan infrastruktur agak ketinggalan berbanding yang lama. Cuba untuk sesuaikan, sudah biasa di tempat senang tiba-tiba diuji Allah dengan yang susah sedikit.

Walaupun mereka baik, tapi saya tetap mahu pulang ke tempat asal. Saya mahu pulang! Macam budak kecil pula. Saya lebih sukakan suasana yang lama walaupun mendapat upah yang sedikit. Saya rindu kawan serumah, kawan seperjuangan, majlis ilmu dan juga Prof L yang baik hati. Tetapi sebenarnya saya memikirkan masa hadapan dan untuk membina kepakaran diri saya perlu berbuat begitu, iaitu pulang ke tempat asal atau mencari organisasi yang mempunyai pusat untuk saya mencari kepakaran. Namun kuasa tuhan siapa yang tahu.

Baru saya tahu, penat juga menjadi tenaga pengajar ni. Kerja sehingga jam lima dan kebanyakannya hingga jam enam. Sampai rumah sudah penat tetapi perlu ulangkaji untuk mengajar keesokannya. Perlu mekirkan soalan kuiz, mengganti kelas jika menghadiri mesyuarat dan lebih-lebih lagi Aidilfitri akan menjelma. Perlu memikirkan cuti dan kelas ganti yang sesuai dengan waktu pelajar. Kasihan juga pada pelajar, jadual mereka agak padat. Biasalah, zaman saya begitu juga dahulu.

Saya masih kelihatan seperti pelajar. Hee, saya perlu bergaya lebih dengan memakai kasut tinggi dan juga perlu bertas tangan untuk membezakan.

Friday, July 23, 2010

Sibuk

Sudah lebih sebulan tidak menjengah sini. Sibuk. Mungkin itu yang boleh diberi alasan. Kelapangan yang agak sedikit digunakan untuk berehat. Bermacam-macam perkara yang berlaku dalam Jun dan Julai ini. Cuba mengingat dan menyenaraikan perkara penting agar tidak terus luput diingatan.

23 hingga 25 Jun 2010, iaitu dari Rabu ke Jumaat merupakan satu pengalaman baru bagi diri ini. Berpeluang ke negara yang pernah dilanda bencana tsunami pada disember 2004, Banda Aceh. Pergi bersama Prof L, Prof T dan juga Puan R. Seronok dan tidak puas berjalan melihat tinggalan sejarah bencana tsunami. Lebih seronok juga kerana pergi bersama bos-bos besar. Semuanya ditanggung. Jimat. Tapi tujuan utama ke sana adalah ke Universitas Kuala Syiah atas dasar kerja bosku sebagai keynote speaker bagi bengkel untuk para pensyarah di sana. Mengambil kesempatan sebagai peneman Prof L dan membantu kerja-kerja teknikal beliau.

1 Julai 2010, Khamis diri ini sudah di Jengka. Mencari pengalaman mengajar dalam bidang ekonomi. Sedih dan sangat berat hati untuk meninggalkan Bangi tercinta. Kawan-kawan, bos, kenangan tempat menimba ilmu, dan juga persekitaran yang penuh dengan majlis ilmu. Namun demi masa depan, digagahkan juga. Sedihnya hanya tuhan yang tahu.

Jauh di sudut hati mengatakan insyaallah diri ini akan kembali ke Bangi. Moga ada rezeki di sana. Ya Allah mudahkan urusan hidupku ini dan juga pengakhiranya. Ampuni dosa-dosaku ini.

Thursday, June 17, 2010

KB



KB, tempat yang suka saya datang. 9 hingga 13 Jun saya pergi ke KB. Suka walaupun perjalanan mengambil masa hampir 9 jam dengan pemanduan yang berhemah. Tapi selepas pembedahan ni, badan saya mulai kurang stamina. Cepat penat dan lenguh sekali bahagian belakang. Saya perlu tabah. Mungkin untuk akan datang, saya merasakan jalan udara adalah yang terbaik untuk saya datang ke KB jika dimurahkan rezeki.

Meriah dan cantik. Itu yang saya lihat semasa menjejak kaki kali pertama ke sebuah pusat orang baik-baik di PC. Mercu tanda kawasan yang baik-baik. Itulah tempat yang saya bertugas. Memerah otak menyediakan maklumat kepada seluruh isi alam.

Satu pengalaman yang tidak menarik bagi saya adalah makan. Setiap pagi dijamu dengan nasi berlauk orang situ. Jemu juga. Kalau setiap hari sepanjang tahun saya berada di sana, tentu saya akan gemuk.

12 Jun malam, saya demam. Panadol jalan terakhir walaupun saya jarang sekali mengambilnya. Tapi demi untuk menempuh keesokan hari untuk bertugas dan perjalanan pulang, saya terpaksa. Alhamdulillah hanya sekadarnya sakit yang diuji. saya kena kuat.

Moga saya dapat bertugas lagi tahun hadapan yang akan lebih meriah dengan adanya agenda pemilihan.

Sunday, May 30, 2010

Khon Kaen




Baru semalam kepulangan dari rantau orang, Khon Kean, Thailand. Menemankan Prof L yang mendapat jemputan sebagai key note speaker di Khon Kaen University bagi seminar Pedagogical Content Knowledge for Science Teacher. Lebih kurang begitulah ceritanya tentang hal dunia pendidikan memandangkan saya ini bidangnya ekonomi. Tidak pandai cerita lebih-lebih.
Banyak pengalaman menarik berada 4 hari 3 malam di sana.

Orang Thai yang sangat memuliakan tetamu. Kalau boleh agaknya, diri kita mahu diangkatnya sekali selain menolong mengangkat semua barang yang dibawa.

Namun, komunikasi agak terbatas dengan mereka kerana masyarakatnya memang tidak memahami Bahasa Inggeris. Perlu menyebut satu-satu perkataan.

Khon Kaen terletak Timur Laut Thailand, lebih kurang begitulah. Lagi dua jam perjalanan ke Laos. Sejam dari Bangkok menaiki kapal terbang dan 5-6 jam jika menaiki kereta.
Bandarnya maju, seakan-akan maju seperti Kota Bharu. Luasnya hampir sama.

Jumlah populasi di situ diangggarkan sejuta lebih. Andaian sendiri.

Jarang/ saya tidak ketemu dengan masyarakat Islam. Apatah lagi kedai makanan Islam.

Orang perempuan di sana ramai yang ramping-ramping, jarang bertemu yang gemuk. Mereka gemar memakai skirt dan blazer. Mungkin kerana saya melawat ke sana pada hari kerja.

Rata-rata raut wajah mereka seperti masyarakat Melayu di Malaysia. Rasa mahu saja bertegur sapa dalam Bahasa Melayu.

Kebanyakan kereta yang digunakan adalah dari jenama Toyota dan Honda. Maklumlah kilangnya di sana juga. Penggunaan Kereta Toyota Vios di jalan raya sama seperti jumlah penggunaan kereta Myvi@Proton di Malaysia.

Makanan harian mereka sama seperti di sini. Ada nasi, lauknya seperti tomyam, ikan tiga rasa dan lain-lain. Menyelerakan bila melihatnya. Tetapi apabila teringatkan ianya tidak halal, terus terbantut selera dan tekak menjadi loya.

Banyak tokong-tokong besar di sana. Sempat juga saya melawat tokong yang besar sekali di mana tingkat atasnya bersalut emas. Sudah berusia 10 tahun. Binaan bangunan sumbangan dari Thaksin. Lupa pula untuk mengetahui namanya. Kebetulan hari itu merupakan hari Wesak. Penganutnya tawaf keliling tokong 3 kali ikut jam. Di dalam tokong pula, ramai yang sujud sembah di hadapan sami. Ada juga makcik-makcik memakai baju ala-ala sami berwarna putih duduk di dalam saf dan membaca buku kecil. Penat juga memanjat tangga ke tingkat atas.

Masa di sana adalah lewat sejam. Sini (+8:00 from GMT) jam lapan pagi, mereka jam tujuh pagi (+7:00 from GMT).

Seronok juga untuk membeli belah sutera di sini. Ada juga kain cotton dan songket. Rasa ingin datang lagi.

Tuesday, May 18, 2010

Rindu Terubat

Akhirnya berjaya juga membawa diri ke Ipoh setelah 2 bulan tidak pulang. Terima kasih Shuyob yang sudi menumpangkan. Rindu terubat juga dengan persekitaran yang jauh dari Bangi. Bosan sudah mengadap Bangi hari-hari. Welcome home, RSB. Adik-adik juga semua ada di rumah.

Sudah semestinya kepulangan itu mempunyai sebab. Menghadiri majlis perkahwinan sahabat SERATA, Haina dengan Tuan Polis pada Sabtu 15 Mei 2010 di FRU Sungai Senam. Meriah, ramai sahabat yang hadir seolah-olah majlis reunion bagi batch SERATA 2002 pula. Masing-masing mengambil peluang bertanya khabar.

Pasangan pengantin diarak dengan lori-lori FRU. Agak menarik. Namun jauh di sudut hati ini, sangat menyampah dengan lori-lori kejam itu dan juga bala tentera yang mengemudinya apabila bertemu di KL. Kepada Puan Haina dan Tuan Polis, didoakan selamat melayari bahtera rumah tangga dan berbahagia hingga ke syurga. Moga ramai lagi yang akan mengikuti jejak langkah itu, termasuklah diri ini juga.

Ada sesuatu perkara yang sangat menguji kesabaran pabila pulang ke Ipoh ketika itu iaitu, cuaca yang sangat panas. Tidur malam bermandikan peluh danbertemankan nyamuk. Rasa ingin cabut pulang ke Bangi sahaja. Lembah Kelang musim hujan. Alhamdulillah, ketika ini selamat sudah kembali ke Bangi.

Sunday, May 9, 2010

Hari Ibu

9 Mei 2010. Selamat Hari Ibu. Hakikatnya dalam Islam, ibu perlu disanjungi setiap ketika. Semoga emak sentiasa berada dalam naungan rahmatnya dan diberkati Allah selalu.

"Ya Allah kau permudahkanlah kehidupan abah dan emak di dunia dan akhirat sebagaimana mereka memudahkan hidup kami ya Allah".

Sayang emak selalu.

Saturday, May 8, 2010

Persoalan

Alhamdulillah selamat menghabiskan pengajian sarjana ekonomi Januari 2010 lepas. Banyak sudah pengalaman dan rintangan yang dilalui semakin dilupakan. Pahit, manis dan semestinya tekanan mewarnai kehidupan sepanjang pengajian. Seperti tidak percaya dapat melalui semua itu pada hari ini.
Kini, timbul pula perasaan bosan dengan persoalan masyarakat sekeliling. 'Bila nak berumah tangga? Kerja apa sekarang?' menjadi rutin soalan apabila bertemu. Umur sudah melangkau suku abad sudah pasti soalan bila nak berkahwin sering diajukan.
Kemungkinan perkara ini sering terjadi kepada mereka yang lambat ditemukan peluang pekerjaan dan jodoh jika sudah tamat pengajian. Moga diberi kesabaran.

Ya Allah, permudahkanlah rezeki, jodoh dan urusan hidupku ini. Moga ianya baik untuk urusan hidupku dan agamamu. Amin.

Monday, May 3, 2010

Suku Abad

Isnin 3 Mei 2010, tarikh temu janjiku dengan doktor di hospital. Alhamdulillah, kini hampir 6 bulan implan titanum dipasang di tulang belakangku. Tulang juga bercantum dengan baik. Khabar gembira, diri ini sudah boleh bersukan ringan. Tidak sabar menunggu hujung minggu ini untuk berjogging dan berbasikal di Taman Botani Putrajaya.

Hari ini juga merupakan ulang tahun kelahiranku. Rupanya sudah suku abad jasad ini. Namun umur rohnya hanya Allah yang lebih mengetahui. Hari ini juga telah mengingatkanku akan hakikat bahawa semakin hampir menuju ke alam hakiki. Ya Allah ampunilah dosa-dosa hambamu yang lemah ini. Mohon husnul khotimah di pengakhiran hidupku hendaknya.

Terasa bahagia dengan ungkapan manis dan doa-doa dari sahabat. Moga dimakbulkan Allah hendaknya...amin.

’Moga murah rezeki, moga diberkati Allah dalam meniti usia seterusnya, bertambah amalan, sihat selalu dan cantik selalu’. Dan ungkapan daripada sahabat istimewa yang terkesan di hati ini ialah ’Masa berlalu biarlah berlalu dan harapan belum menjadi kenyataan. Maka manfaatlah waktu saat yang sedang menjalaninya’. Perluku ambil iktibar daripada kata-kata manis ini.

‘Jangan lambat-lambat, nanti berlalu masa. Rugi...’ satu ungkapan pesanan ringkas dari sahabat yang sedang menanti undangan jamuan nasi minyak. Yang ini ku berserah pada ketentuan Ilahi siapakah pengakhirannya nanti.Ya Allah permudahkanlah urusan hidupku ini.

Sunday, May 2, 2010

Haus

Jam 7 hari yang sama sudah tersedar. Suasana yang kelam di bilik pemulihan. Tangan dipenuhi wayar dan seangkatannya. Seorang doktor masih ada di sisi. Rupanya baru selesai keluar dari dewan. Pusing kiri pusing kanan, melihat pesakit lain yang masih lemah dan belum sedar. Seperti di bilik mayat pula, rasanya la. Walaupun tidak pernah menjejak kaki ke sana.

Peritnya tekak. Haus teramat akibat dibius seluruh badan selangsung 6-7 jam proses pembedahan. Air diminta, tetapi doktor enggan memberi dengan alasan 'Sini tiada air, perlu naik ke wad dahulu'. Namun perasaan sangat haus membuatku terus meminta-minta. Pelik doktor itu melihat laggakku seperti bukan selepas pembedahan. Akhirnya hanya 2-3 titik air sahaja yang masuk ke tekak. Jika seteguk, pasti akan muntah semula. (Dan kejadian itu telah pun berlaku akibat kedegilanku apabila tiba di wad) .

Pada masa yang sama, badan menggigil kesejukan. Merengek bagaimana mahu membuang air kecil. Lantas doktor menjawab, "Tiub sudah dipasang. Jangan risau'.

Alhamdulillah sudah selamatnya. Seperti tidak percaya. Terima kasih kepada barisan pakar dan juga kepada yang berdoa.

Monday, April 26, 2010

Hari Jadi

Semestinya tidur malam tidak lena. Acap kali terjaga. Sebelum tidur, darahku diambil lagi. Sakit. Tengah malam pula, jururawat memasukkan air. Sakit juga permulaannya. Dan dipesan supaya berpuasa sehingga pembedahan.

Mandi pagi agak menyeksakan. Terpaksa mengangkut sekali beg air kerana dipesan begitu. Rasanya boleh sahaja dibuka sebentar. Mandi yang terakhir dalam keadaan sihat. Selepas ini, pasti terlantar seminggu di atas katil. Sudah terbayang sukarnya nanti hendak melunaskan tuntutan peribadi yang lain.

Pagi yang hadir dengan bermacam perasaan. Risau ada, hambar dan lain-lain lagi. Hati semakin berdebar melihat kepada katil pesakit mangsa pertama. Kosong. Beliau sedang bertarung.’ Adik, semoga dipermudahkan urusanmu’. Aku mangsa kedua.

Jam 11, keluarga selamat sampai di wad. Gembira dan ceria dihati apabila melihat semua hadir kecuali adik yang keempat kerana menghadapi peperiksaan akhir di kolej. Abang dan isteri turut mengambil cuti. Oh, terharunya. Terima kasih juga kepada sahabat serumah yang hadir walaupun tidak berkesempatan bersua muka sebelum memasuki dewan pembedahan. Doa dipohon dari kalian.

Jam 12, nama dipanggil. Persalinan ditukar dan diberi ubat penenang. Bagi menghilangkan debaran, apabila sampai di dalam dewan, aku mengambil kesempatan menambah ilmu dengan berbual dengan pelajar-pelajar perubatan yang akan turut sama nanti. Pelbagai wayar mula dipasang di badan. Tangan pula dicucuk dengan jarum besar. Kata doktor saraf neuron perlu dicari. Masih tidak jumpa walaupun dicucuk di kedua tangan. Aduh, sakit. Akhirnya, tunggu setelah dipengsankan.

Ya Allah, mohon aibku dijaga.

Sunday, April 25, 2010

Sehari Sebelum

Khidmat diri seawal 5.30 pagi diteruskan dengan solat subuh. Debaran kecil sudah terasa. Jam 7 para jururawat tangkas menyiapkan cadar bersih untuk setiap pesakit di dalam wad. 30 minit kemudiannya lawatan rutin oleh rombongan doktor dan pelajar perubatan bertanya khabar bagi setiap pesakit. Baru ku tahu begini keadaan di hospital setiap pagi.

Khabarku juga diambil peduli. Sebagai orang baru, banyak persoalan perlu dijawab. Rupanya kesku masih belum dimesyuaratkan. Mungkin kerana kes baru dan pembuatan keputusanku dalam masa yang singkat. Sebut harga juga belum dikeluarkan. Lalu, ku unjukkan surat biru tempoh hari kepada pakar yang melawat. Keadaan menjadi rumit sedikit kerana 2 minggu sebelum itu aku menyatakan kewangan tidak menjadi masalah. Tetapi hari tersebut bayaran minimum dipohon seperti yang tertera di surat.

Sebenarnya aku cuba mengambil peluang dan kesempatan yang ada untuk tidak meyusahkan abah. Hati ini agak terkilan, seolah-olah hal ini meyusahkan mereka. Siapalah diri ini, sudahlah keseorangan di hospital. Ikutkan rasa hati, mahu sahaja mengemas barang dan berangkat pulang. Namun ku terangkan kepada mereka, sekiranya tidak berpeluang, abah masih mampu.

Hati terus berdoa agar dimudahkan.

Thursday, April 22, 2010

Hari Pendaftaran

15 November 2009, Ahad merupakan hari 'penyerahan diri'. Cuba berlagak biasa seperti hari cuti yang lain. Selesai sarapan di pasar pagi Bangi terus sahaja memasukkan sedikit lagi barang ke dalam kereta. Menyambung kerja semalam tanpa pengetahuan yang lain. Ada di antara rakan serumah yang tidak ketahuan akan tarikh pendaftaranku. Ada juga yang menganggap gurauan melihat kepada ketidakseriusanku dalam perkhabaran. Namun diri ini sangat mengharapkan doa kalian agar dimudahkan urusan.

Tidak mahu menyusahkan siapa-siapa. Lantas pemanduan AGF dimulakan dari al_Hamra' ke HU secara bersendirian. Lambaian akhir dari Cik Zafarul amat mengharukan walaupun beliau berkeras untuk menghantar. Cukuplah sekadar doa diiringi.

Keluarga di Ipoh telah diingatkan agar datang sahaja pada 17 November 2009. Tidak perlu awal. Nanti akan menyusahkan emak dalam permohonan cuti. Maklum sajalah, cuti kecemasan guru tidak banyak dalam setahun. Mujur abah sudah bersara.

Memang merasakan hari penyerahan diri. Digagahkan kaki menuju wad spinal tingkat empat. Dua kali berulang mengangkut sendiri barang dari kawasan letak kereta staf dan juga pendaftaran diri di wad kecemasan sudah membuatkan rasa hendak pengsan sahaja. Apa pun hidup perlu diteruskan.

Hari itu juga adalah kali petamaku dalam hidup menginap di wad hospital dan memakai uniform pesakit. Tetapi hampir suku abad sebelumnya, diri ini pernah menginap di klinik swasta kerana kelahiran ke dunia.

Thursday, April 15, 2010

Menghitung Hari

Bermula Julai 2009, hati ini sudah tidak keruan. Tidur malam pun tidak seoptimum seperti biasa. Namun hati kecil saja yang tahu. Pencarian maklumat semakin giat di internet. Oh tidak, sungguh mengerikan bila membaca dan melihat pengalaman orang. Bagaimana untuk menghadapi sendiri nanti? Walau bagaimanapun, jutaan terima kasih kepada yang sudi berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing.

Hari semakin dekat. Masih terdapat tuntutan yang mesti dilunaskan. Tugasan, peperiksaan akhir dan kertas ilmiah belum dibereskan. Tekanannya hanya tuhan saja yang tahu. Ketenangan luaran yang dibuat-buat cuba dikawal sebaik mungkin.

Dan akhirnya, alhamdulillah selesai sudah semuanya kecuali kertas ilmiah. Hm, digagahkan juga untuk bertemu bos kerja. Makluman cuti sebagai pembantu penyelidik harus diberitahu. Tanpa dijangka, beliau mencadangkan untuk berjumpa TNC. Mohon pandangannya sebagai mantan pengarah hospital dan juga pakar ortopedik.

Akhirnya, perjumpaan berlaku 3 hari sebelum hari penyerahan diri. Hadir bersama bosku. Rupanya, baru ku tahu TNC tersebut merupakan perintis yang mencipta implan titanum tempatan. Terus sahaja beliau syorkan penggunaan implan tersebut dengan bayaran yang minimum. Maka, surat biru dikeluarkan daripada pejabatnya dengan harapan urusan selanjutnya dimudahkan. Terima kasih Prof L.

Sunday, April 11, 2010

Hikmah Sebaliknya

Keputusan untuk mengendahkan tarikh temujanji pada 12 Oktober 2009 telah menyebabkan temujanji baru dibuat pada 2 November 2009. Hal demikian adalah disebabkan oleh diri ini dilanda kebosanan dan putus asa untuk mendengar pelbagai pendapat daripada doktor yang berlainan setiap kali pertemuan bulanan bermula Julai 2009. Digagahkan juga hati untuk ke hospital universiti pada 2 November 2009 walaupun di musim peperiksaan akhir semester.

Namun kuasa tuhan siapa yang tahu. Pada pertemuan itu dimaklumkan terdapat satu kekosongan pada sesi kedua pada 17 November 2009. Pesakit tersebut menarik diri dari giliran. Laju sahaja doktor perempuan itu mengesyorkan dan menulis namaku di dalam buku senarai pesakit yang menunggu giliran untuk dibedah. Sekiranya tidak, giliranku pada Julai 2010.

Demi masa depan dan juga sebagai seorang perempuan yang akan memasuki usia suku abad, tempoh penyembuhan untuk bergerak aktif selepas pembedahan akan mengambil masa 6 hingga 12 bulan membuatkanku berfikir sejenak dan bersetuju. Mungkin doktor itu lebih memahami hati wanita berbanding doktor lelaki sebelum-sebelum ini.

Persetujuan dibuat memandangkan masalah kewangan tidak begitu keberatan di pihakku. Keluarga juga akur lagi-lagi di pihak abah, mungkin kerana banyak pengalaman bekerja di bahagian perubatan. Tapi hati emak, tahu sajalah sejuta kerisauan. Mahu saja dilanjutkan supaya tenang menghabiskan pengajian semester akhir.

Nekad itu juga didorongi oleh keistimewaan sebagai seorang pelajar. Iaitu, mendapat surat jaminan untuk prosedur pembedahan, wad, perubatan dan lain-lain walaupun tidak termasuk kos implan.

Satu Permulaan…

Memulakan langkah memang payah. Namun melihat kepada penulisan orang lain, ianya membuatkan minat ini semakin bertambah. Dari dahulu lagi begitu, mungkin setahun sudah minatnya. Tapi entah bila dan di mana hendak mula.

Maka hari ini berlaku permulaan kepada minat itu. Tetapi hanya cerita diri menjadi idea pencetus dan harapnya akan berkembang menjadi satu mekanisme penyebaran ilmu dan kebenaran. Insyaallah moga diberi kekuatan. Syabas, satu penghargaan kepada diriku, biar sedikit tapi istiqamah, Nabi suka…

*buah cempedak diluar pagar...