Monday, April 26, 2010

Hari Jadi

Semestinya tidur malam tidak lena. Acap kali terjaga. Sebelum tidur, darahku diambil lagi. Sakit. Tengah malam pula, jururawat memasukkan air. Sakit juga permulaannya. Dan dipesan supaya berpuasa sehingga pembedahan.

Mandi pagi agak menyeksakan. Terpaksa mengangkut sekali beg air kerana dipesan begitu. Rasanya boleh sahaja dibuka sebentar. Mandi yang terakhir dalam keadaan sihat. Selepas ini, pasti terlantar seminggu di atas katil. Sudah terbayang sukarnya nanti hendak melunaskan tuntutan peribadi yang lain.

Pagi yang hadir dengan bermacam perasaan. Risau ada, hambar dan lain-lain lagi. Hati semakin berdebar melihat kepada katil pesakit mangsa pertama. Kosong. Beliau sedang bertarung.’ Adik, semoga dipermudahkan urusanmu’. Aku mangsa kedua.

Jam 11, keluarga selamat sampai di wad. Gembira dan ceria dihati apabila melihat semua hadir kecuali adik yang keempat kerana menghadapi peperiksaan akhir di kolej. Abang dan isteri turut mengambil cuti. Oh, terharunya. Terima kasih juga kepada sahabat serumah yang hadir walaupun tidak berkesempatan bersua muka sebelum memasuki dewan pembedahan. Doa dipohon dari kalian.

Jam 12, nama dipanggil. Persalinan ditukar dan diberi ubat penenang. Bagi menghilangkan debaran, apabila sampai di dalam dewan, aku mengambil kesempatan menambah ilmu dengan berbual dengan pelajar-pelajar perubatan yang akan turut sama nanti. Pelbagai wayar mula dipasang di badan. Tangan pula dicucuk dengan jarum besar. Kata doktor saraf neuron perlu dicari. Masih tidak jumpa walaupun dicucuk di kedua tangan. Aduh, sakit. Akhirnya, tunggu setelah dipengsankan.

Ya Allah, mohon aibku dijaga.

No comments:

Post a Comment