Friday, December 30, 2011

Lagi sehari

Lebih kurang lagi sehari nak ke tahun baru.

Minggu ini, macam-macam berlaku.

Tunggu lagi sebulan. Hehe lawak. Buat kerja gila. Tak kisah pun apa natijahnya. Sekurangnya mencuba.

Esok macam nak join operasi malam tahun baru. Kawan serumah yang beria. Saya tak pernah pun walaupun saban tahun ada peluang. Takut salah uslub.

Tuesday, December 6, 2011

Mabruk



2 Disember 2011


Sudah dikhitbah orang secara rasmi.

Kini sahabat baik saya sedang mengira kedatangan hari bahagianya...


Semoga beroleh keberkatan dan berakhir dengan perkahwinan kelak..InsyaAllah..Barakallah!

Thursday, November 24, 2011

Syukur

Pagi tadi. Macam budak sekolah pula jumpa SV untuk minta pencerahan.

Masih tiada kefahaman. Sempat juga mengadu itu ini.

Dan akhirnya...


Alhamdulillah.

SV bagi kunci suruh duplicate.

Apa lagi, lepas perbincangan, laju saja saya ke sini dengan girl friend hijau saya. Terus panggil kakak cleaner untuk lap dan vacum segala habuk tebal dan tahi cicak.

Sangat jarang beliau ke sini. Akhir sekali Julai lepas. Lebih selesa di fakulti katanya. Di fakulti pun ada dua bilik.

Terima kasih Dr TS yang baik hati. Harap jangan terlepas tarikh lagi untuk mohon pm. Moga saya sempat habis dengan sekurangnya Dr dah jusa c :).

Ada komputer, printer, aircond, internet, kabinet. Lengkap. Katanya duduklah dari subuh sampai malam sehingga siap. Letaklah segala buku-buku di kabinet.

Hm...kalau tak rajin, tak tahu la..

"Kertas, katrij kalau dah habis minta pada pentadbiran" pesan beliau.


Thursday, November 17, 2011

Tukar


161111 ~ Rabu

Bermesyuarat bersama barisan penyelia (SV). Sangat berdebar untuk bentang permasalahan kajian. Bidang kewangan di sini expertise semuanya lelaki. Di Serdang pun.

Akhirnya perlu bertukar skop. Dari sudut makroekonomi kepada mikroekonomi kerana isu makro sudah banyak dikaji. Nanti sukar untuk pertahankan kertas cadangan kajian.
(Financial Development, Institutional Quality and Economic Growth: Malaysia & West Asian change to Finance, Volatility and Growth ~ focus to firm level)

Mula dengan yang baru.

Kini sedang pulun mencari isu. Jauh di sudut hati, memang tidak mampu. Dengan teori-teori yang baru nak berkenalan, programming, data...Rasa macam tak sempat nak habiskan. Tapi bila melihatkan kepada barisan SV yang bersemangat dengan idea-idea bernas dan sokongan, rugi pula berputus asa. Peluang begini bukan mudah semua orang dapat.

SV Dr. Zul katanya dahulu dia bekerja 12 jam sehari semasa di UK. 9 pagi hingga 9 malam. Siap tiga tahun.

Saya? 30 minit membaca, fikiran dah ke mana-mana. Dua jam duduk menghadap meja, sudah lenguh-lenguh pinggang. Adoi...Sedang cuba untuk 12 juga. Moga alam sekeliling mendoakan usaha saya. Kena suka kucing selepas ini :)

Monday, November 14, 2011

Pokok


Apabila garis persempadanan menjadi ukuran

Tidak mensyaratkan masa tetapi menjadi kian tawar

-111111


Pokok - apa sebab goyang

Wednesday, November 2, 2011

Ungkapan

Semalam saya bertemu rakan serumah lama di pejabat beliau. Telah pun mempunyai cahaya mata kedua.

Sambil memulangkan pendrive, bertanya khabar dan juga ada perkara penting yang dinasihatkannya.

Beliau seorang yang prihatin akan sahabat-sahabat tentang itu. Terharu akan doanya.

Wah, sungguh saya tak terungkap kata-kata itu di hadapan sepatutnya.

Tapi perlu untuk keberkatan seumur hidup sehingga ke syurga.

Kata sahabat itu, Allah sebaik-baik pembantu. Mohon padaNYA.

Monday, October 31, 2011

dua puluh sembilan oktober dua ribu sebelas


Sabtu. Saya ke Manjung. Taman Samudera. Kawan serumah saya telah bertukar status kepada puan. Tanhiah Nadira dan pasangannya, Encik Yusof.

Selepas makan nasi hujan panas, kami ke Lumut Waterfront. Sebagai orang Perak, telah berkali kunjungan saya ke situ. Tetapi memandangkan saya menumpang kereta orang Selangor dan mereka belum pernah sampai, maka saya ke situ lagi. Cuaca sangat panas. Seronok mereka bergambar dengar arca-arca di situ.


Jalan pergi, kami ikut lebuh raya PLUS dan keluar di Slim River. Tapi sepatutnya keluar Sungkai kemudian ikut jalan pintas baru ke Sitiawan selepas Ladang Bikam. Sekarang tidak perlu lagi keluar di Bidor.

Jalan pulang ke Bangi, kami mengikut pesisir pantai atau nama lain laluan Kuala Selangor. Dari Manjung lalu Lekir, Sabak Bernam, Sungai Besar, Pasir Panjang, Tanjung Karang, Meru, Kapar, Setia Alam hinggalah ke rumah masing-masing.

Walaupun bukan saya yang memandu semasa pergi dan pulang, saya tidak boleh lelapkan mata. Kena bagi arahan jalan. Co pilot pula tidak berperanan sebab memang tak tahu jalan. Hehehe.. Pantang saya leka bersembang dengan Puan Nabilah, mesti nak tanya simpang mana. Ayoyo.. Boleh aje baca signboard tu. Tak pun lain kali study lah dulu jalan. Tak pun bagi laluan duduk di sebelah pemandu.

Semasa pulang, kami singgah tepi jalan kawasan Sungai Besar. Seorang sahabat mahu makan mentarang bakar seperti dalam gambar.Semuanya merasa pertama kali kecuali Puan Nabilah sebab Aidilfitri yang lepas beliau dijamu rendang metarang oleh keluarga suaminya di Tanjung Karang. Sekilo berharga RM10. Sambil tunggu mentarang dibakar, sempat yang lain turun ke bendang untuk bergambar.

Rasa mentarang sama seperti kerang. Sedap. Cuma isinya lebih besar. Tapi jangan tenung lama-lama isinya, terus masuk ke mulut. Nanti jadi tak lalu makan dengan rupa bentuknya.

Monday, October 17, 2011

r.o.i

Semalam saya ke HUKM. Temu janji tahunan dengan doctor ortopedik. Tahun lepas saya mohon sesuatu semasa berjumpa surgeon. R.O.I (Remove out implant). Masa tu, baru setahun pasang. Alhamdulillah tulang bercantum elok (fusion). Doktor kata tunggu la sehingga tiga tahun. Dia tak galakkan di awal-awal dan sebenarnya tak galakkan pun. Tapi saya tak tahu yang doktor itu adalah surgeon yang bedah saya. Sebab selalu temujanji sekadar jumpa MO sahaja.

Semalam sempat tinjau dari jauh fail saya di atas meja. Hehe sendiri sibuknya nak tahu. Rupanya ada dua pakar semasa kejadian. Pembedahan bermula 2.30 petang sehingga 5.15 petang (2jam 45 mint sahaja). Sekejap sahaja (Sebab tengok di internet, ada yang 5 hingga 7 jam). Tapi saya dimatikan jam 1 petang dan sedar semula hampir jam 7 malam. Sebelum dimati, sempat lihat tempat nak kena lapah tu. Kecil, kurusnya katil tu. Tapi selepas dimatikan, dicucuk segala wayar, belakang saya disental dengan detol yang seangkatan dengannya. Matikan bakteria.

Doktor semalam bertanya lagi. Kekosongan Mac depan. Dia pun tak galakkan sebenarnya. Bukan tak de orang buat, tapi jarang. Sebab ada yang 5, 6 tahun pakai, ok sahaja. Ok, memangla ok. Tapi azabnya setiap hari walaupun masih boleh bertahan dengan berehat selepas itu.

Lower back pain caused by scoliosis surgery. Itulah masalah saya. Mula-mula saya ingat saya seorang je mengalaminya. Rupanya seantero dunia ( Info form di internet). September lepas pindah rumah, tegang urat belakang lama nak ilang. Baring berehat jer seminggu dua kalau masa terluang. Nak duduk dalam kelas pun tak tahan lama-lama. Nasib baik dua jam. Tak macam master dulu, kelas sampai empat jam. Lepas ni, saya kena tolong tengok je kalau ada urusan pindah-pindah. Tulang sudah tak fleksible.

Kalau dulu sakitnya kadang-kadang tetapi setiap kali datang, tak kuat nak tahan azabnya. Masa tahun akhir sekolah dan matrikulasi. Itu saya ingat sangat.

Akhirnya saya tangguhkan keputusan itu. Jumpa lagi tahun depan. Memandangkan nak sembuh kena staples tu ambil masa setengah tahun bagi saya. Pedih dari dalam. Tak boleh pakai baju kecik di awal-awal. Tak boleh duduk lama-lama. Tapi yang bestnya, saya ada GL pelajar. Kira percuma la kos itu. Tapi mungkin selepas viva kalau sempat hidup...Allah sahaja yang mengetahui segalanya.

* Sejam berlalu di kutub khanah dengan coretan ini. Jurnal-jurnal terbentang di sisi...


Thursday, October 13, 2011

Perubahan

ehsan dari encik google

Tiba-tiba teringat.

Dulu (November 2009), masa saya terlantar hampir seminggu di wad hospital, saya bertudung sepanjang masa. Satu, kerana keadaan di wad spinal HUKM adalah bercampur lelaki perempuan. Dua, doktor akan melawat saya pada tengah malam ataupun awal-awal pagi. Maka adalah lebih selamat saya bertudung walaupun langsir keliling katil telah ditarik.

Itu sahaja yang saya mampu kerana uniform pesakit hospital sudah tentu berlengan pendek. Lagipun tangan kiri dan kanan saya penuh dengan wayar-wayar dan drip..ntah apa istilahnya.

Ketika itu, adik-adik saya menjaga siang hari semasa ketiadaan emak abah (emak pergi melancong ke Bandung). Kakak ipar dan abang sekali dua datang melawat lepas kerja. Habis mereka semua didera, saya suruh buat itu dan ini. Haha...Segan nak suruh misi.

Tapi apa yang menggembirakan saya, Februari tahun ini adalah kelahiran anak saudara yang kedua. Kakak ipar saya bertudung semasa ditahan di wad. Syabas Kak Atirah.

Ini sangat berlainan ketika bersalin anak pertama dahulu (Julai 2009 ~ bayi meninggal dalam perut ketika sudah tujuh bulan). Ketika itu saya sedih kerana ramai juga kawan-kawan ofis beliau dan abang saya yang lelaki turut melawat.

* Saya bukan solehah pun. Tapi satu perkara tak boleh lupa, berlaku 'kebocoran' yang agak teruk semasa turun dari katil di mana semua pakar, doktor dan pelajar (morning round) berada di sekeliling. Adoi...sangat malu

Monday, October 10, 2011

Empat Oktober

Alhamdulillah baru mendapat tawaran tajaan pembiayaan diri. Penat seminggu ke hulu ke hilir selesaikan apa yang patut.

Tapi masih menunggu yang lain kut-kut ada rezeki. Boleh pergi seberang laut. Berangan lagi.

Moga dimudahkan urusan belajar saya. Sebulan berlalu. Masih kelam kabut.






Monday, September 26, 2011

Semalam




Semalam semasa di pesta konvo ukm kali yang ke 39.

Jalan-jalan bersama una dan kak nani.

Cuma agak sedih dan terkejut, walaupun tak mengjengah pentas tapi dapat dengar suara artis jemputan dan nyanyiannya. Beginikah tahap pemikiran mahasiswa dan budaya mereka? Manakah budaya akademik. Sama seperti tahun-tahun lepas punya pimpinan. Tetapi terdapat juga perubahan besar program-program yang lain (Alhamdulillah, tiada lagi rumah hantu yang mengarut itu). Ini cuma luahan saya.

Teruja dengan benda-benda kecil dalam gambar tu. Comel!

Sunday, September 25, 2011

Macam-macam


Macam-macam benda sedang difikirkan.

Mengajar, belajar, kerja, tayar, claim gaji, basuh kereta dll...hehehe..merapu

Saya sedang belajar untuk menerima apa yang dah diputuskan. Macam mimpi pula. Entah macam mana dulu boleh muncul kekuatan berbuat begitu. Seronok betul dia. Tak sangka mummy dan daddy turun Bersih.

Sekarang saya tinggal di tingkat empat. Ada lif. Seronok tiada nyamuk. Luas. Tapi hujung minggu tidur sorang-sorang. Semua ok alhamdulillah. Tapi leceh pasal parking kereta. Rasa menyesal pun ada. Maaf kepada teman serumah yang lain.

Kerja pula, sedang focus untuk coding dan key in data. Cepat-cepat nak habiskan kerja sekarang. Lepas ni fokus nak mohon FRGS untuk diri sendiri pula. Sedang mencuba-cuba, kut ada rezeki nanti. Terbayang elaun empat k. Hahaha..








Saturday, September 17, 2011

Mula semula

06092011

Selamat kembali meneruskan. Tapi masih blur. Maklumlah hampir 2 tahun meninggalkan dunia belajar. Seminggu dah berlalu. Hanya sedikit pencarian. Mungkin penat puasa.

Kena fokus dan berdisiplin. Masih tiada kekuatan untuk bentang.

Ya Allah mudahkanlah segalanya dari permulaan sehingga sempurna.

* No matriks yang cantik dan mudah. Sama seperti dulu :)
* Bulan yang hujung minggunya penuh dengan aktiviti makan-makan.

Saturday, September 3, 2011

Eid Mubarak 1432 Hijrah



Malas nak kira. Mungkin hampir tiga ratus untuk tahun ini. Alhamdulillah.

Selamat hari raya aidilfitri. Mohon ampun segala salah dan silap dari semua.

Selamat berpuasa sunat dan seangkatan dengannya.



*Alya Auni. Kini 6 bulan setengah. Geram rasa nak lempang dia. Hahaha...

Tuesday, August 23, 2011

Tiga

Kali pertama ditentukan. Pilihan kedua. Alhamdulillah dipertemukan dengan rakan yang baik-baik.


Kali kedua. Menurut pandangan dari seseorang yang pakar, antara yang hebat ada di Serdang dan Bangi. Tiada pengaruh kawan. Seorang diri saja. Cuma perangsang daripada penyelia yang lepas menjadi semangat. Dalam pada yang sama, sebagai penolong pengarah, beliau juga menawarkan amanah sebagai pegawai penyelidik sosial. Dilema. Akhirnya meneruskan semangat tadi.


Kali ketiga. Teruja dengan rakan baik. Semangat dalaman dan juga dari beliau. Hampir berpuluh kali berjumpa dengan penyelia kali kedua minta pendapat dan pandangan. Antara ranking yang terbaik juga masih sama tempatnya. Ada kawan yang sudah mula di Kuala Lumpur, tapi pandangannya tidak positif untuk saya ke situ. Pulau di utara masih senyap saja jawapannya. Alhamdulillah akhirnya siap cadangan tersebut. Saya suka kerana sangat kurang pandangan dari Malaysia. Berharap ia akan memberi kesan kepada policy maker nanti. Insyaallah untuk kebaikan segenap pelosok.


Kini tiba-tiba semangat itu mendatar...




*Saya berhasrat untuk ke institut lewat datuk saya belajar suatu ketika dahulu. Tapi hanya Allah saja yang mengetahui. Sepupu saya baru lepas dari situ. Sebak opah melihat beliau tamat baru-baru ini dan juga kerana teringat kenangan lama. Sudah 85 tahun tapi masih gagah ke sana.


Merapik lagi saya...



Thursday, August 4, 2011

Syahdu


Salam Jumaat di bulan Ramadhan. Syahdu sungguh di pagi Jumaat yang indah ceria kala mendengar lagu Hijjaz ~ Sebelum terlena.

Insaf. Ya Allah ampunilah dan berkatilah kehidupanku ini...


“Apabila kita hidup hanya untuk kita, hidupnya amatlah singkat. Bermula dari bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas. Tetapi jika kita hidup kerana selain daripada kita, hidup kerana fikrah, sesungguhnya hidupnya panjang dan mendalam. Bermula daripada bermulanya kita dan berakhir dengan luputnya manusia di bumi ini. Jika kita merasa kita yang memulakan perjuangan ini, kita akan sempit dada menghadapi kematian (kerana perjuangan belum mencapai matlamat). Ingatlah, bukan kita yang memulakan dan bukan kita yang mengakhirinya. Ia dimulakan oleh para nabi sehinggalah ke akhir zaman. Kita adalah mata rantai dari satu perjuangan yang panjang.” (As-Syahid Syed Qutb)


"Islam itu datangnya (mulanya) dalam keadaan pelik (asing), maka ia akan kembali pelik seperti mana ia datang. Maka beruntunglah mereka yang asing."


Wednesday, August 3, 2011

hlovate

Salam Ramadhan. Mohon ampun segala salah dan silap sepanjang perkenalan.

Tiba-tiba minggu ini melayan novel-novel hlovate di rumah, Ipoh.

Suka dengan gaya bahasa Inggerisnya.

Layan gurindam jiwa, rooftop rant dan versus. Semua ada di rak buku di rumah.

Lepas raya nak layan 5tahun 5bulan pula. Hajat nak pinjam dari Cik D di Putrajaya. Tapi September ni dah masuk belajar.

hlovterror.blogdrive.com

*Bulan ramadhan, bulan mustajab untuk doa bagi yang berpuasa. Doa sungguh-sungguh.

Wednesday, July 13, 2011

27

12 Syaaban 1405. Jumaat. Tarikh kelahiran tahun hijrah.

12 Syaaban 1432. Rabu. Sekarang genap 27 tahun.

Moga keputusan yang saya buat hari ini akan menjadi kenyataan di masa hadapan. Berdoa. Insyaallah. Nekad. Ada anasir dari luar yang menganggu. Nasihat sahabat yang menggerunkan juga.

* Ya Allah mudahkanlah urusan itu.

Nyamuk

Mendapat serangan bertubi-tubi setiap malam.

Hancur tangan saya. Muka pun turut jadi sasaran. Sudah sembur tapi tak lut, masih datang waktu jam 3,4 pagi.

Kadang-kadang selubung. Tapi cuaca panas.

Cepatlah selesai urusan saya di sini dan berpindah rumah.

*Patut bersyukur kerana Allah hantar tenteranya untuk bangunkan saya di tengah malam :)

Saturday, July 9, 2011

Gotong-royong

Allhamdulillah. Saya selamat selesaikan gotong royong di bandaraya KL tadi.

Pertama kali seumur hidup. Sebelum-sebelum ini ada sahaja halnya.

Semangat. Seronok. Cuak. Cemas. Risau. Semua ada. Hanya tawakal kepada Allah.

Apa-apa pun encik berbaju biru yang menghuru-harakan yang aman. Serius. Mereka kejam. Mereka tak senang melihat kami nak berjalan secara aman. Kami tiada senjata.

Berkali-kali peluru dilepaskan. Nasib baik tidak kena kepala. Hampir. Muka sangat pedih. Tak boleh buka mata. Rasa nak muntah. Rasa nak pengsan. Tak mampu nak berjalan. Tuhan saja yang tahu. Tapi kuat semangat untuk selamatkan diri. Takut-takut kena kutip naik lori.

Allhamdulillah juga, KL diturunkan hujan lebat masa zohor. Hujan rahmat. Mengurangkan kesan gas pemedih mata. Tak sempat ambil gambar.

Saya tidak redha apa yang berlaku. Bajet beli peralatan tu dari rakyat tapi untuk kezaliman. Sangat kasihan melihat kepada warga emas. Mereka tiada hati perut.

Tonton berita malam tadi, rasa nak letupkan televisyen. TV3suku, RehatTungguMati. Semua mengarut.

Peniaga rugi? Berkali-kali singgah makan. Pelancong lari? Haha saya ada ketika itu. Turut sama mereka.

Adakah mereka yang menyampaikan berita setiap itu tidak sedar mereka menyampaikan fitnah.

Tak ingat neraka Allah. Siksa kubur. Saya takut.

Satu salah disampaikan, 27 juta orang mendengarnya tu tak termasuk yang melihat secara online. Astaghfirullah.

* Ya Allah mudahkan urusan mereka yang lain ketika ini. Saya faham bagaimana perasaan mereka yang terperangkap.

Tuesday, June 28, 2011

Makin dekat

Apabila saat itu makin dekat... seolah-olah kita menunggu teka-teki dari Allah.

Nanti boleh tanya apa yang dia buat pada masa ini, 2011.

Suka ayat ini. Dari blog sahabat.

Bukan semakin jauh. Macam mati juga...Betul juga.

* Bulan yang banyak celoteh

27 Rejab 1432

Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNYA (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil al-Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kebesaran dan kekuasaan) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.


Al-Isra' 17:1


* Salam Isra' Mikraj

Sunday, June 12, 2011

asdfghkhjlgk

Apabila validity dan reliability tests orang dulu tak dibuat dengan betul semasa pilot test. Haish...sangat menyusahkan. Sekarang dah final. Memang susah nak regress. Susah jugak apabila seseorang prof madya yang ketiadaan Phd tidak tahu tentang method. Seolah-olah research ini aku yang ketuanya!


Resign! Aku juga punya research sendiri. Mudah kalau begitu...


*Ya Allah, mudahkanlah surat tawaranku ditaip segera. Sangat down!

Wednesday, June 8, 2011

Manis

Sangat sweet cerita pertemuannya.
MasyaAllah. Subhanallah. Saya suka. Saya nak ala-ala macam itu. Lebih bermakna, tiada dosa.

Harap saya berpeluang begitu...Masih simpan, bukan sebarangan murahnya.

Hmm...saya berangan lagi. Dan berdoa.

Suatu ketika dahulu, saya juga pernah menerima bungkusan. Saya sedang mengambil sarjana. Isi dalamnya sama seperti dalam cerita itu. Saya tiada di Perak, memang sengaja suruh abah tolong bukakan. Tapi abah tidak menunjukkan sebarang respon positif. Maka saya tidak meneruskannya. Maafkan saya. Restu penting juga. Tak tahulah apa yang abah saya mahu. Sudah dua kali. Agaknya saya belum stabil. Kali kedua, boleh pula tanya bila saya mahu sambung belajar selepas kepulangan orang yang datang. Siap mahu tanggung sampai siap. Maka saya pun mengambil langkah itu walaupun saya hanya biasa-biasa, bukan cemerlang.

Mungkin kalau ada yang ketiga, saya nekad. Insyaallah. Haha.

Tuesday, June 7, 2011

Cekal

Cekal dan tabah saya sudah hilang. Sebelum ini saya mampu bertahan. Kembalilah gigih saya.


Sekarang tidak lagi. Sudah sebulan di sini. Berat menurun hampir 2000 gram. Selera terbang jauh entah ke mana. Semangat mungkin lagi jauh.


Keadaan sekeliling membuat saya tidak mampu bertahan. Kerja, sahabat, kawan, rumah. Semuanya tidak seperti dahulu. Tiada lagi ceria dan gelak ketawa. Tiada yang serasi. Semuanya jauh. Saya tak suka semua itu.


Sebulan bermuram hati dan perasaan. Perlu pulangkah? Lebih aman dan tenteram untuk menelaah. Sini tidak mampu walaupun seliaan dekat. Rumah ini tidak boleh sudah bagi saya.


Mudah sangat air mata ini mengalir saban senggang. Kembalilah saya seperti dulu.


*Ya Allah bantulah hambaMu yang serba dhaif ini...




Sunday, June 5, 2011

Kenduri

5 Jun 2011., Ahad. Kenduri doa selamat sempena naik rumah baru. Rumah opah. Warna kuning tempoyak. Seberang masjid Rapat Setia.

Semoga selamat dunia akhirat.

Sangat penat dalam persediaannya dan juga penutup. Tak terkata. Tapi seronok. Terima kasih semua yang terlibat.

Semalam sampai, esok sudah pulang. Tak suka balik sana!

* Tak nak balikkk. Ada kerja kosong tak di Ipoh? Ada orang Ipoh tak? Tak mampu nak pandu jauh-jauh nanti.

Saturday, June 4, 2011

Kerusi

Setelah sekian lama tidak menaiki bas dari KL ke Ipoh. Pertama kali jejak kaki di Puduraya yang baru tadi. Keadaan yang tergesa, sekilas pandang sempat melihat perubahan yang canggih dan selesa. Terima kasih kepada rakyat yang membayar cukai!

Saya cukup tidak suka kerusi di dalam bas Transnasional. Tidak sesuai dengan keadaan saya. Lagi-lagi sandar kepalanya. Sakit badan dan tulang. Sampai rumah terus terjelepok. Penatnya sama sahaja seperti memandu, cuma dalam bas boleh tidur.

Kerusi Air Asia pun sama. Tegak aje. Susah nak tunduk makan nasi lemak pak nasir.






Banyak songeh pula! Hehe...

*Antara doa yang mustajab adalah doa orang yang sedang bermusafir.

Thursday, May 26, 2011

Sebilik

Rakan sebilik saya yang hanya sempat tiga minggu untuk tahun ini akan melangsungkan perkahwinannya lusa, 28 Mei 2011. Kami berpisah setahun sebelum ini.

Moga dimudahkan segala urusan dan bahagia hingga ke syurga.

Pulang dari kerja, sayu melihat bilik yang separuh kosong. Kurang lagi satu sahabat untuk sembang serasi.

Terima kasih atas doa agar saya juga diketemukan dengan roomate yang baru. Ehe...

Wednesday, May 11, 2011

i k r a b

110511. Semalam.


Lelah juga, lagi-lagi musim panas ini. Kertas itu berjaya dihantar. Alhamdulillah dimudahkan. Moga terus hingga selesai hendaknya. Langkah bermula...dana, idea, akal, emosi, masa, semangat!

Monday, May 2, 2011

26

Esok.


Hamdallah atas segala nikmat yang dikecapi.


Moga sudahku nanti dalam keadaan baik. Amin.





* Pagi-pagi berangkat ke perbukitan Bangi. Hendaknya ada yang sudi.













Monday, April 25, 2011

Seberang

Baru tiba di Seberang Prai pagi tadi dengan menumpang kasih orang. Ehe...Berhajat hingga ke Sabtu ini. Merata tempat saya mengangkut segala alatan persekolahan itu.

Membawa diri bagi mengubat tekanan. Tak mampu lagi untuk berada di sekitar Bangi buat masa ini. Tekanan permasalahan kajian. Mahu muntah apabila acap menghadap jurnal dan pensyarah. Masih belum mantap. Tinggal lagi sedikit.

Sudah sebulan nomad di Putrajaya. Saya pulang ke Ipoh Khamis lepas. Tak sangka dalam masa sebulan itu, saya peroleh rezeki merantau. Sempat ke Terengganu, Melaka dan Sarawak. Jalan sakan. Mungkin rezeki menganggur. Terima kasih cik-cik pegawai dan pensyarah bagi menumpang dengan penuh selesa.

Kini terasa bahagia di sini apabila idea datang mencurah. Rezeki ke sini pula. Terima kasih Ila. Sahabat seperjuangan sejak di matrikulasi hingga kerja di Pahang dulu. Rezeki beliau mengajar di sini pula. Seronok melihat sudah punya aset sendiri dan rumah sendiri. Bilalah giliran saya agaknya? Harap-harap Mei ini bertambah murah lagi rezeki saya, insyaallah..

Hampir satu Malaysia saya jelajah sejak awal tahun. Tinggal Sabah dan Perlis saja belum. Jauh disudut hati, saya merasakan pada akan datang saya akan sibuk, sebab itu saya cuba manfaatkan peluang berjalan ala koboi. Walaupun tidak berduit, tapi rezeki Allah itu luas rupanya. Mungkin rezeki kerja kah selepas ini? Atau belajar? Entah-entah saya akan dipinang malaikat maut!

Saya doakan kepada semua yang telah sudi belanja saya makan, jalan-jalan dan banyak lagi, moga dimurahkan lagi dan diberkati rezeki yang sedia ada. Amin. Moga antara kalian cepat menimang cahaya mata. Tak kurang juga moga cepat jodoh kalian. Bolehlah lepas ini saya ikut menyusul, kalau ada yang sudi dengan budak sekolah lah! Hahahaha!

*Cik di Arau bila mahu mengajak saya datang pula?

Tuesday, April 19, 2011

Sebongkah batu

Baru selesaikan Sebongkah Batu di Kuala Berang di kala stress melanda. Novel sulung Dr Faisal Tehrani bersama PTS.

Menarik. Memberi ilmu dan teladan.

Karyawan seni perlu intelektual. Bangkitkan kesedaran masyarakat yang alpa.

Mengungkap secebis petikan dalam novel itu. Antara yang berbirat di hati saya.

Syed Hussein Al-Attas dalam The Intellectuals. 1959.


Intelektual adalah golongan terpelajar.


Para intelektual menghasilkan idea dan menyebarkannya. Memimpin dan memberi hala pemikiran masyarakat.


Sedangkan, sarjana yang tidak berfungsi dalam masyarakat dengan cara menyediakan penyelesaian untuk masalah umatnya hanyalah sarjana dengan kelayakan., bukannya seorang intelektual.


Di sisi lain, ada banyak pemegang ijazah dan profesor yang tidak melibatkan diri dalam pembangunan pengetahuan dalam bidang masing-masing ataupun menggunakan fikiran mereka bagi memikirkan masalah dan berusaha mencari penyelesaian. Ini bukan intelektual dalam erti sebenar. Mereka hanyalah orang dengan kelayakan.


Selamat mendapatkan SBDKB. Berbaloi.


*Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011, 22 April ~ 1Mei. Moga tercapai kesudian orang itu menghadiahkan saya sesuatu!

Friday, April 15, 2011

Matang

Kini saya di Matang Jaya, Kuching dan mungkin akan bertambah matang hendaknya..ehe
Alhamdulillah terpilih ke sini untuk membantu kerja-kerja seperti yang lepas-lepas iaitu kemaskini laman web dan lain-lain.

Sini ada nasi goreng dabai. Dari buah dabai yang telah dimasinkan, kemudian dijadikan rencah dalam nasi goreng. Warna unggu buahnya. Rasa nasi seperti nasi goreng cina yang ada lada hitam.

Ada linuk, upik..ntah lupa dah nama-nama yang pelik. Tengok aja.

Malam tadi sempat ke Kg. Boyan@Gersik, Kuching untuk membeli kek lapis Sarawak. Kawan kepada sahabat saya orang tempatan yang membawa ke situ. Terdapat banyak kiosk kedai kek lapis. Cuma perlu pandai memilih yang sedap.


Kedai Kek Lapis Mira. Cadangan kawan itu. Sedap, semua yang dicuba sedap sehingga rambang rasa dan mata untuk memilih. Satu RM 10 sahaja. Kalau di Semenanjung, paling murah saya lihat dengan saiz yang sama adalah RM18. Itu belum lagi musim Aidilfitri, mungkin 20 ringgit ke atas.

Selamat mengundi rakyat Sarawak. PRNS ke 10.

Kitak merik mandat, kamik merik khidmat.


Sedih melihat kawasan pendalaman dan rumah-rumah panjang. Kemudahan asas pun sukar, air, elektrik, jalan, jambatan dan macam-macam lagi. Walhal negeri terkaya dengan sumber alam di Malaysia ini.


Sudah tujuh penggal. Sudah-sudahlah tok uban. 30 tahun lama tu...

Jom Ubah! Huan! Change!

Sunday, April 3, 2011

Hati itu

Mohon yang baik-baik sahaja

Ingatlah Allah senantiasa di mana-mana sahaja, nescaya Allah tidak lupakan

Aku berlindung dari kejahatan yang nyata, tersirat dan juga dari diri sendiri

Sifat ampunNYA selalu mendahului sifat murkaNYA

Biarkan Allah yang mengaturkan segalanya

Semua akan indah padah waktunya

Yang sukar pasti ada hikmahnya

Sabar dan doa buat penyembuh

Ya Allah ampunilah dan sabarkanlah daku...


~ 1/2 credit to KHA ~

Tuesday, March 22, 2011

Semakin jauh

19 Mac yang lepas saya di Kuala Terengganu. Menghadiri majlis perkahwinan sahabat baik saya semasa MA, Wana. Alhamdulillah, tercapai juga hasratnya setelah sekian lama merancang.

Mungkin saya akan terasa kehilangannya. Rata-ratanya sahabat saya begitu. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan amanah yang baru.

Wana sudah sambung belajar. Dia pembakar semangat saya.

"I'm happy for you and hope Allah will give me the same happiness and send me a right leader to guide my way, Insyaallah"

Keep on praying...

Saturday, March 5, 2011

Dua

Hujung Februari lepas, tiba-tiba saya tergerak hati untuk adakan lagi satu.

Lebih peribadi untuk hasrat hati sendiri. Segan dengan yang kenal.

Apabila saya ada dua, kadang-kadang salah satu saya mungin kurang prihatin.

Thursday, February 17, 2011

Karangan

Alhamdulillah karangan yang dibuat selama ini tidak mengarut. Saya gembira sekejap. Semasa bertemu dengan bakal penyelia pada 8 Feb lepas, banyak idea baru serta komen yang diberi. Menarik! Tetapi ketika itu hanya mampu mengiyakan saja kerana satu pun tidak difahami. Perlu lagi tambah kajian-kajian lepas yang berkaitan.

Seminggu lebih sudah berlalu, namun karangan saya masih di takuk lama. Mana tidaknya, 9 hingga 12 Feb saya di Kemboja. 13 Feb saya ke Jengka untuk mengangkut segala harta-harta peninggalan dahulu. 14 Feb pula berada di Putrajaya menyambut kelahiran anak saudara yang boleh di kira pertama. 15 Feb pulang ke Ipoh.

Sejak semalam saya sibuk dengan operasi mengemas bilik. Hari ini masuk hari kedua. Keadaan bilik masih belum tenang lagi. Banyak tak terkira harta-hartaku ini. Berkotak-kotak, berbeg-beg. Tapi yang pasti saya perlu menghias bilik seperti bilik belajar. Jenuh juga nak memuatkan ruang untuk meja belajar.

Menurut pengalaman senior, saya tidak boleh lakukan begini. Lambat bertindak dalam pembetulan. Takut-takut saya lupa akan idea-idea menarik tempoh hari. Tak sama seperti yang dicatatkan.

Sekarang saya sedang mencari mood belajar! Moga-moga mudah hendaknya...

Monday, February 7, 2011

Cutikah?

Akhirnya saya nekad untuk tidak menyambung kontrak untuk bertugas Januari lepas. Namun keputusan itu tidak menunjukkan saya dapat bercuti dan berehat buat masa ini.

Awal Januari, agak sibuk membantu opah dan makcik berkenaan urusan rumah baru dan juga menyiapkan sebahagian rancangan penyelidikan saya.

Pertengahan 16 sehingga 1 Februari saya membantu menyumbangkan tenaga yang ada ini di Pekan Labis, Johor. Membantu menjadi jurugambar, wartawan dan secara tidak rasmi sebagai pengiring cikgu sepanjang hari. Sempat saya melihat kehidupan di felda-felda dan kampung tradisi.

Jauh di sudut hati, keadaan kehidupan masyarakat di situ agak daif juga. Sedih melihat hanya sedikit sahaja perubahan jika dibandingkan dengan 50 tahun sudah. Mereka tidak nampak arus perubahan yang dilakukan penduduk di negeri lain. Hanya menumpu pada media arus perdana saban hari. Mungkin mereka bahagia dengan kehidupan sedia ada. Apa boleh saya buat, itu yang mereka pilih sehingga sudah nanti. Hanya terima bantuan ketika itu sahaja. Bagaimana untuk masa hadapan. Mereka sudah diajar dari dahulu begitu. Jika diberi bantuan ketika itu, maka mereka akan berubah pilihan.

Walaupun nampak mudah kerja saya, tapi sebenarnya penat. Keluar rumah dari jam 8 pagi kemudian pulang jam 9 malam. Perjalanan pergi 30 km, pulang pun begitu (Segamat -Labis). Itulah rutin selama 2 minggu. Moga-moga usaha yang sekelumit ini menjadi nilai buat saya pada penghujung nanti.

Kerja itu juga memberi pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Pengalaman banjir. Saya dan kawan-kawan terperangkap di hujung hari bertugas. Hati sangat tidak sabar untuk pulang, tetapi kami diuji. Terpaksa sehelai sepinggang dan juga kebasahan kerana cuaca yang sentiasa hujan sepanjang masa. Sangat risau jika kereta berhenti di tengah meredah air semasa pulang. Alhamdulillah kami lepas meredah air dengan bantuan informasi semasa dari bilik gerakan banjir Johor. Hanya sempat selamatkan diri dan kereta untuk pulang ke Kuala Lumpur melalui Yongpeng. Barang-barang pada ketika ini masih di Segamat. Jalan ke Segamat ditutup ketika itu.

1 Februari selamat sampai di Ipoh. Penat sangat terasa. Melihat keadaan kereta saya lagi memenatkan. Busuk dengan bau basah.

2 Februari sempat menelaah sedikit. Lama meninggalkan jurnal-jurnal kesayangan. Dan juga membasuh sebahagian kereta. Dalam pada masa yang sama, sepupu minta bantuan untuk memandu ke Kuala Lumpur pada 3 Februari. Hati memang tak sudi tapi atas urusan penting digagahkan juga. Konvensyen di PICC turut saya hadiri pada 5 Februari bagi menemankan sepupu saya itu. 6 Februari berangkat pulang.

Semalam saya gagahkan untuk menyiapkan racangan penyelidikan saya. Itulah tujuan utama saya tidak menyambung kontrak untuk bertugas. Esok, 8 Februari saya akan ke Kuala Lumpur semula atas urusan penyelidikan saya. 9 - 12 Februari saya akan ke Kemboja untuk bercuti. Penatnya tulang belakang saya ini. Moga-moga Allah memudahkan perjalanan hidup saya.

Sunday, January 9, 2011

Kuning Tempoyak


Moga teratak ini menjadi tempat tautan perhubungan persaudaraan yang semakin pudar sebelum ini.
Terima kasih dan jutaan al-Fatihah untuk Allahyarham Anuar Azmie bin Othman (1948-2009). Moga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Friday, January 7, 2011

Seorang

Tahun 2011 sudah hari ini. Moga segala yang diimpikan tercapai.

Aku suka keseorangan. Bebas. Emel yang dihantar tanpa respon aku menganggap perkara ini selesai sudah ceritanya. Sila cari orang lain yang lebih memahami.

Aku mahu belajar dan sekurang-kurang pendampingku nanti boleh memberi sokongan moral. Dan aku juga tahu tugas hakikiku seorang pendamping orang lain. Saling berkerjasama dan memahami.