Thursday, February 17, 2011

Karangan

Alhamdulillah karangan yang dibuat selama ini tidak mengarut. Saya gembira sekejap. Semasa bertemu dengan bakal penyelia pada 8 Feb lepas, banyak idea baru serta komen yang diberi. Menarik! Tetapi ketika itu hanya mampu mengiyakan saja kerana satu pun tidak difahami. Perlu lagi tambah kajian-kajian lepas yang berkaitan.

Seminggu lebih sudah berlalu, namun karangan saya masih di takuk lama. Mana tidaknya, 9 hingga 12 Feb saya di Kemboja. 13 Feb saya ke Jengka untuk mengangkut segala harta-harta peninggalan dahulu. 14 Feb pula berada di Putrajaya menyambut kelahiran anak saudara yang boleh di kira pertama. 15 Feb pulang ke Ipoh.

Sejak semalam saya sibuk dengan operasi mengemas bilik. Hari ini masuk hari kedua. Keadaan bilik masih belum tenang lagi. Banyak tak terkira harta-hartaku ini. Berkotak-kotak, berbeg-beg. Tapi yang pasti saya perlu menghias bilik seperti bilik belajar. Jenuh juga nak memuatkan ruang untuk meja belajar.

Menurut pengalaman senior, saya tidak boleh lakukan begini. Lambat bertindak dalam pembetulan. Takut-takut saya lupa akan idea-idea menarik tempoh hari. Tak sama seperti yang dicatatkan.

Sekarang saya sedang mencari mood belajar! Moga-moga mudah hendaknya...

Monday, February 7, 2011

Cutikah?

Akhirnya saya nekad untuk tidak menyambung kontrak untuk bertugas Januari lepas. Namun keputusan itu tidak menunjukkan saya dapat bercuti dan berehat buat masa ini.

Awal Januari, agak sibuk membantu opah dan makcik berkenaan urusan rumah baru dan juga menyiapkan sebahagian rancangan penyelidikan saya.

Pertengahan 16 sehingga 1 Februari saya membantu menyumbangkan tenaga yang ada ini di Pekan Labis, Johor. Membantu menjadi jurugambar, wartawan dan secara tidak rasmi sebagai pengiring cikgu sepanjang hari. Sempat saya melihat kehidupan di felda-felda dan kampung tradisi.

Jauh di sudut hati, keadaan kehidupan masyarakat di situ agak daif juga. Sedih melihat hanya sedikit sahaja perubahan jika dibandingkan dengan 50 tahun sudah. Mereka tidak nampak arus perubahan yang dilakukan penduduk di negeri lain. Hanya menumpu pada media arus perdana saban hari. Mungkin mereka bahagia dengan kehidupan sedia ada. Apa boleh saya buat, itu yang mereka pilih sehingga sudah nanti. Hanya terima bantuan ketika itu sahaja. Bagaimana untuk masa hadapan. Mereka sudah diajar dari dahulu begitu. Jika diberi bantuan ketika itu, maka mereka akan berubah pilihan.

Walaupun nampak mudah kerja saya, tapi sebenarnya penat. Keluar rumah dari jam 8 pagi kemudian pulang jam 9 malam. Perjalanan pergi 30 km, pulang pun begitu (Segamat -Labis). Itulah rutin selama 2 minggu. Moga-moga usaha yang sekelumit ini menjadi nilai buat saya pada penghujung nanti.

Kerja itu juga memberi pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Pengalaman banjir. Saya dan kawan-kawan terperangkap di hujung hari bertugas. Hati sangat tidak sabar untuk pulang, tetapi kami diuji. Terpaksa sehelai sepinggang dan juga kebasahan kerana cuaca yang sentiasa hujan sepanjang masa. Sangat risau jika kereta berhenti di tengah meredah air semasa pulang. Alhamdulillah kami lepas meredah air dengan bantuan informasi semasa dari bilik gerakan banjir Johor. Hanya sempat selamatkan diri dan kereta untuk pulang ke Kuala Lumpur melalui Yongpeng. Barang-barang pada ketika ini masih di Segamat. Jalan ke Segamat ditutup ketika itu.

1 Februari selamat sampai di Ipoh. Penat sangat terasa. Melihat keadaan kereta saya lagi memenatkan. Busuk dengan bau basah.

2 Februari sempat menelaah sedikit. Lama meninggalkan jurnal-jurnal kesayangan. Dan juga membasuh sebahagian kereta. Dalam pada masa yang sama, sepupu minta bantuan untuk memandu ke Kuala Lumpur pada 3 Februari. Hati memang tak sudi tapi atas urusan penting digagahkan juga. Konvensyen di PICC turut saya hadiri pada 5 Februari bagi menemankan sepupu saya itu. 6 Februari berangkat pulang.

Semalam saya gagahkan untuk menyiapkan racangan penyelidikan saya. Itulah tujuan utama saya tidak menyambung kontrak untuk bertugas. Esok, 8 Februari saya akan ke Kuala Lumpur semula atas urusan penyelidikan saya. 9 - 12 Februari saya akan ke Kemboja untuk bercuti. Penatnya tulang belakang saya ini. Moga-moga Allah memudahkan perjalanan hidup saya.